BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, August 25, 2011

MAKAN UNTUK HIDUP, HIDUP UNTUK MAKAN


Semasa menghadiri satu seminar, penceramah nya kalau tak silap saya Dr. HM Tuah Iskandar, beliau ada membuat jenaka tentang persoalan kaum mana kah yang paling kuat makan di Malaysia.  Menurut beliau, orang Melayu merupakan masyarakat Malaysia yang paling kuat makan.  Benarkah?  Ramai peserta seminar tidak setuju dengan kenyataan beliau.
Alasan beliau :
Ketika seseorang itu dilahirkan, apakah yang akan dilakukan oleh ibu bapanya?  Kenduri
Ketika nak berkhatan? Kenduri
Ketika dapat keputusan baik dalam peperiksaan? Kenduri
Ketika dapat masuk universiti? Kenduri
Ketika tamat pengajian dengan cemerlang? Kenduri
Ketika mendapat pekerjaan? Kenduri
Ketika hendak bertunang? Kenduri
Ketika hendak berkahwin? Kenduri
Ketika mendapat anak? Kenduri

Bahkan hingga mati pun masih ada kenduri.  Pada sesetengah tempat sampai tiga malam berturut-turut dan akan dibuat setelah 40 hari, 60 hari dan setiap tahun berikutnya.  Agak melucukan juga alasan yang diberikan, tapi ada logiknya juga kan.

Budaya makan orang kita dahsyat.  Bayangkan sahaja 15 ribu orang diberitakan membanjiri Stadium Titiwangsa , Kuala Lumpur hanya untuk memohon lesen sementara berniaga sempena bulan Ramadhan 2010 yang lalu di kawasan Lorong Tunku Abdul rahman dan Jalan Masjid India.  15 ribu itu ialah para peniaga bermakna para pembelinya boleh jadi sepuluh kali ganda.  Dan bahan jualan yang paling laris atau paling banyak dijual tentunya bahan-bahan juadah makanan jua.  Itu hanya untuk dua lokasi di KL belum lagi di seluruh Malaysia yang setiap kali tibanya bulan Ramadhan kita sentiasa berpesta di bazaar Ramadhan.

Budaya makan keterlaluan dan tanpa mengira waktu menjadi punca pelbagai penyakit termasuk kegemukan atau obesiti di kalangan rakyat Malaysia. Kebanyakan rakyat negara ini kurang berdisiplin dalam soal pemakanan seperti makan makanan yang digemari secara berlebihan dan tidak peduli jika mengambilnya sebelum tidur. Mereka makan pada waktu malam, sebagai contoh pada pukul 11 atau 12 malam dan selepas itu terus tidur. Bagi penggemar roti canai atau nasi lemak pula makan tidak kira pagi atau malam, sampai 10 kali seminggu sedangkan itu tidak baik untuk kesihatan budaya pemakanan seperti itu mengundang implikasi tidak baik kepada tubuh manusia. Makan sebelum tidur menyukarkan proses penghadaman dan makanan akan disimpan menjadi lemak dalam tubuh badan. Budaya pemakanan di kalangan rakyat Malaysia perlu diubah bagi menggalakkan gaya hidup yang sihat. Masyarakat masih kurang berdisiplin serta mempunyai sikap yang terlalu obses terhadap sesuatu makanan.

Acap kali kita didedahkan tentang perihal warga metropolitan yang lebih gemar membeli kudapan atau makan di luar dan seringkali juga budaya makan di luar ini berhubung kait dengan permasalahan kesihatan. Tidak dinafikan makan di luar adalah cara paling mudah untuk menikmati hidangan yang enak dan menyelerakan tetapi kesedapan sebenarnya mampu menjadi `racun’ kepada kesihatan. Bayangkan penggunaan serbuk perisa, pewarna, minyak serta gula yang berlebihan dicampurkan sebagai ramuan dalam masakan yang sebenarnya boleh memudaratkan. Di samping itu, ramuan untuk penyediaan makanan juga adalah di luar pengetahuan pengguna tentang status halal dan juga mutunya yang boleh menimbulkan tanda tanya kepada pengguna.

Langkah terbaik untuk menjaga kesihatan di peringkat awal ini adalah amalan menyediakan atau memasak juadah hasil air tangan sendiri. Sedikit sebanyak ia juga dapat memberi kepuasan serta menjamin kebersihan, lantas kesihatan sekeluarga dapat dipelihara. Realitinya, masyarakat terlalu mementingkan masa sehingga mengabaikan kesihatan. Oleh itu, pinjamkan sedikit masa untuk menjadikan budaya makan dirumah sebagai amalan hidup warga kita.

Peradaban dan budaya makan bagi pelbagai golongan etnik di Asia merupakan warisan tingkah laku zaman-berzaman. Bagi mereka, cara yang terbaik untuk menikmati hidangan makanan ialah dengan menggunakan cara yang diamalkan oleh golongan etnik masing-masing.    Budaya makan dengan  menggunakan tangan biasanya diamalkan oleh masyarakat  di Timur Tengah, India dan beberapa negara di Asia Tenggara. Lazimnya, tangan  dibasuh sebelum dan selepas makan. Tangan yang dibasuh  sendiri adalah lebih bersih jika dibandingkan dengan sudu ataupun garpu yang dibasuh oleh seseorang yang kemungkinan tidak dapat dipastikan kebersihannya.   Masyarakat Islam dan Hindu menggunakan tangan kanan untuk menyuap makanan. Mereka biasanya makan bersila dengan hidangan makanan diletakkan di tengah-tengah tetamu.

Masyarakat yang menggunakan kayu penyepit biasanya menggunakan mangkuk sup dan mangkuk nasi masing-masing sewaktu menikmati hidangan. Mereka akan duduk di meja  makan dan menggunakan kayu penyepit untuk mengambil lauk-pauk. Budaya makan seperti ini telah memungkinkan  penggunaan mangkuk nasi dan kayu penyepit yang dikhaskan untuk setiap ahli keluarga. Sudu, garpu dan pisau mula digunakan di meja makan dalam masyarakat Barat pada awal kurun ke-17. Penggunaan kayu penyepit oleh masyarakat Cina dikatakan bermula pada kurun kedua Sebelum Masihi. Jepun, Korea dan Vietnam yang kuat dipengaruhi oleh Tamadun China juga turut menggunakan kayu penyepit untuk makan.

Walaupun nasi dan gandum menjadi makanan ruji di timur dan barat  benua Asia,  terdapat golongan etnik yang  makanan ruji mereka lain daripada nasi dan gandum. Variasi makanan ruji pelbagai golongan etnik berkait rapat dengan tempat  tinggal dan sejarah golongan etnik yang terbabit.    Gandum menjadi makanan ruji bagi masyarakat di timur laut China. Gandum dikisar menjadi tepung dan dijadikan pau (manton) dan mi tepung gandum. Spageti di Itali dipercayai berasal dari  China. Marco Polo mungkin telah melihat dan mempelajari cara membuat mi semasa melawat negara China pada abad ke-14. Marco Polo mungkin telah memperkenalkan cara membuat mi kepada masyarakat Itali dan telah disesuaikan dengan cita rasa masyarakat tempatan mengikut peredaran zaman.

Sekoi pula dikatakan dibawa ke Asia Timur daripada Tamadun India Lama. Sekoi  dibawa merentasi kawasan pergunungan di Asia Tenggara dan ke arah timur sehingga ke utara  China dan Manchuria. Pada zaman dahulu, masya­rakat Tamadun China Lama menanam sekoi di sepanjang sungai Yangtze di utara  China dan menjadi makanan ruji masyarakat di kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, makanan ruji di kawasan ini bertukar kepada  gandum, nasi dan barli kerana perubahan politik dan tamadun.

Di Asia Tenggara, keladi, ubi kayu, ubi keledek dan pisang merupakan tanaman utama bukan bijirin sejak berkurun lama. Tanaman ini menjadi makanan utama masyarakat di kawasan Asia Tenggara sehinggalah beras diperkenalkan. Apabila kawasan ini mula diperkenalkan dengan tanaman bijirin seperti beras yang datang kemudian dari Tamadun India Lama, maka sehingga hari ini beras menjadi makanan ruji di hampir semua tempat kecuali di timur kepulauan Indonesia dan pulau yang terletak di Selat Bashi antara kepulauan Filipina dan Pulau Taiwan.

Masyarakat Asia turut memanfaatkan susu ternakan sebagai sumber protein. Susu  pelbagai jenis ternakan dijadikan yogurt, mentega, keju dan hasil tenusu yang lain di Mongolia, Asia Tengah, India dan Asia Barat sebagai sumber makanan. Manakala di  China, Korea Selatan, Jepun dan Asia Tenggara, kacang soya digunakan untuk menghasilkan susu dan pes kacang soya. Susu dan pes kacang soya dijadikan sumber makanan seperti tauhu, kicap dan dadih.

Pilihan makanan mengikut pelbagai golong­an etnik dan adab makan mempunyai hubungan rapat dengan agama yang dianuti oleh golongan etnik tertentu. Masyarakat Islam mengutamakan hukum halal dan haram dalam pilihan makanan mereka. Mereka hanya memakan daging sembelihan orang Islam. Masyarakat Hindu pula tidak memakan lembu kerana menganggapnya binatang suci. Ramai penganut Hindu yang hanya memakan sayuran.

Bagi masyarakat China yang berfahaman Taoism, mereka percaya bahawa makanan merupakan punca atau sebab untuk hidup lama. Makanan dianggap mempunyai nilai perubatan dan semua jenis makanan dikelaskan mengikut nilai perubatan. Contohnya, terung bulat dipercayai dapat mengurangkan tekanan darah dan harus dimakan oleh mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi. Sebaliknya, halia pula dipercayai menambah sel darah dan harus dimakan oleh mereka yang terkena gejala anemia. Justeru, keseimbangan badan dapat dicapai melalui pengambilan makanan yang sesuai.

Untuk sihat sepanjang masa, yang paling perlu diberikan perhatian dan kawalan ialah makanan, budaya makan dan apa yang hendak dimakan.  Hampir semua penyakit bermula di perut  kerana di situlah berhimpunnya semua jenis makanan dan minuman.  Sederhana lah dalam apa jua perkaRa, insyaAllah anda akan selamat meniti usia. Tanya kan diri anda, anda hidup untuk makan atau makan untuk hidup.  Pada saya kedua-duanya.  Kadang kala saya makan untuk hidup dan kadang kala hidup untuk makan.bergantung kepada keadaan.

0 comments: