BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, December 22, 2012

CATATAN SEORANG MADU


Kepada wanita yang berumur 40++ atau menghampiri usia tersebut pasti suka membaca majalah MIDI (Aspirasi Wanita 40++) yang terbit 2 kali sebulan. Aku antara pembaca tetap majalah tersebut  (alamak…dah tahu  la yea umur aku)
Ada satu pojok dalam majalah tersebut yang sering menjadi pilihan aku iaitu Lembayung Hati. Untuk keluaran 15 Disember 2012 ini, tajuk nya cukup mengancam “Catatan Seorang Madu”. Membaca tajuknya suduh cukup mendebarkan. Justeru ingin aku kongsi catatan tersebut dalam nota FB aku kali ini. Perkongsian ini setelah aku pilih bahagian-bahagian yang aku rasa patut jadi renungan kita bersama-sama baik untuk golongan adam mahu pun hawa.

Menurut Puan X (Nama yang kuberi untuk penulis catatan ini) suami beliau telah kembali ke rahmatullah tidak lama dulu. Menurutnya arwah suaminya meninggal dalam pelukan beliau dan sempat mengucapkan kata-kata yang cukup menusuk kalbu “paling menyayangi Puan X meskipun cintanya terbelah dua (untuk Puan X dan madunya).  Syahdunya kan…. Al-Fatihah untuk arwah suami Puan X.
Menurut beliau lagi dia hidup bermadu selama 15 tahun.  Selama itu lah beliau berkongsi suami dan giliran. Selama itulah beliau sering tertanya-tanya sejauh mana suami sayang kepada beliau. Kalau betul sayang…mengapa tega menduakan beliau ? Mengapa sampai hati beliau dimadukan ? Pada aku…semua orang dalam situasi Puan X pasti sama juga soalannya kan…

Namun menurut Puan X, sejak hari pertama beliau dimadukan, beliau sedar sepenuhnya bahawa suami milik Allah SWT bukan milik isteri. Suami ialah amanah. Apabila seorang wanita menjadi isteri bererti dia harus  bersedia untuk dimadu, bersedia untuk dipisahkan oleh kematian, bersedia menderita, bersedia menjadi sahabat, bersedia menjadi pasangan dalam suka mahupun duka, bersedia segala-galanya malah bersedia diceraikan.  Kata beliau lagi dek kerana beliau sedar beliau bukan lah insan yang sempurna apalagi telah faham hukum poligami, malah tiada sebab untuk menghalang justeru beliau redha.

SUAMI MAMPU

Suami bukan lah certificate yang hanya boleh dimiliki oleh seorang isteri sahaja. Lesen suami besar untuk beristeri dua, tiga atau empat. Asalkan dia mampu. Menurut Puan X, arwah suaminya tergolong lelaki yang mampu zahir dan batin. Sekalipun tertanam rasa sayang dan cemburu, arwah suami Puan X menjalankan tanggungjawab dengan adil. Justeru kata Puan X tega kah beliau berkata “Suami ku, I belong to you and you belong to me? “
Puan X amat menyayangi arwah suaminya. Tetapi sayang bukan bermaksud beliau perlu mengekangnya. Cinta pada suami bererti “kebahagiaan dia ialah kebahagiaan saya juga”….menurut Puan X.

Waktu mula-mula tahu beliau akan dimadukan, hati Puan X terasa luluh. Dia bertanya pada arwah suami adakah beliau tidak cukup memberikan apa yang suami mahu. Namun jawapan klise arwah suami beliau telah diduga. Arwah mampu beristeri lebih daripada seorang, dan tidak mahu terjerumus dalam kancah maksiat, dia mahu kahwin untuk elakkan berzina.

MUHASABAH DIRI

Puan X muhasabah diri. Poligami bukan dosa. Beliau sedar ada banyak wanita lain di luar sana yang ingin menjaga kehormatannya, menjaga kesucian interaksinya dengan yang bernama lelaki, ingin merasakan sokongan daripada seorang imam ketika mereka telah lelah dalam mengharungi hidup dan perjuangan diri. Puan X sedar, ada banyak wanita lain yang merindukan belaian kasih sayang yang tulus daripada seorang suami yang soleh.  Beliau sendiri pernah merasakan hal yang sama ketika dalam penantian jodoh.

Puan X selalu membayangkan begini : Bukan kah ketika isteri merindukan suaminya pulang, ada wanita lain yang masih dalam penantian yang tidak jelas. Ketika suami pulang, belum tentu isterinya dapat melayan suami dengan sempurna. Sementara di luar sana, ada wanita yang rindu untuk melayaninya.  Jadi buat lah pilihan, sama ada pilih rela ditinggalkan atau berkongsi dengan wanita lain yang juga mempunyai hak terhadap suami ?
Menurut beliau lagi, dia tidak mahu menjadi wanita egois yang menyakiti hati arwah suami dan madunya. Justeru beliau merelakan takdir tersebut. Nyata bukan sedikit air mata yang tumpah, itu memang tidak dapat dinafikan. Menjadi isteri tua, memerlukan beliau memainkan peranan membantu arwah suami menjadi lelaki soleh.  Beliau tak boleh membawa dosa kepadanya.

Poligami mengetuk kesedaran dan kepedulian kepada keperluan suami nya. Membuatkan beliau lebih menghargai giliran beliau bersama suami. Menjadikan beliau lebih akur. Mana lebih baik, mengetahui suami bersama isteri lain nya atau mendapat tahu dia bercengkerama dengan wanita simpanan di tempat lain.
Puan X percaya janji Allah. Ada jannah menanti orang yang ikhlas dan rela berkorban untuk suaminya.

Hmmm…. Moga perkongsian ini mampu membuka minda dan jiwa kita. Mungkin ringkasan catatan ini tidak sehebat catatan yang sebenar dalam majalah MIDI tersebut. Justeru….boleh la cepat-cepat ke kedai cari majalah tersebut ya.