BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, December 18, 2010

Biar lah Rahsia

Pagi tadi
kita berbicara bagai sudah kenal lama
bait demi bait kata
silih berganti antara kita
Cara mu mempersona
Ceritamu penuh ceria
Tiada langsung kisah duka
Pastinya kau insan yang penuh bahagia
Namun aku masih tertanya-tanya
Apakah kau seperti ku jua
Biarlah itu menjadi rahsia...
Dan demi masa
Pastinya kita akan tahu jua
Siapa diriku
Siapa dirimu
Namun
yang rahsia tetap rahsia
Kerna rahsia kekadang mengeratkan kita

Monday, December 6, 2010

Sajak Bujang dan Dara : Tiada Jodoh Kita

Tatkala sejarah cintaloka
Adam dan Hawa
Uda dan Dara
Qaisy dan Laila
melafazkan cinta
dunia terasa milik mereka
bahagia terasa di mana-mana
kemanisan terasa semata-mata


Walau ribut membadai menggila
Walau gelora menggegar samudera 
diredah umpama sejuk salju adanya
Waktu itu tiada lainnya buat si uda cuma si dara
Waktu itu tiada indahnya
hanya lagu cinta asmara berlagu tika bertentang mata

Namun, antara rona dunia
siapa sangka siapa menduga
Lagu cinta nyanyian dua jiwa terhenti tanpa sepatah bicara
dara di sini uda di sana masing-masing dengan haluannya
kau miliknya aku milik si dia masing-masing dengan agendanya


Itulah takdir maha Esa
walau seribu tahun menerpa
walau sesaat berputar masa
andai jodoh kita tiada 
pasrahlah dengan ketentuanNya.

*Sajak Bujang dan Dara: Tiada jodoh kita-selepas disunting oleh En. Ramlee Wahab
terima kasih daun keladi,lain kali minta tunjuk ajar lagi.

Saturday, December 4, 2010

Sajak Akhirnya, Aku Milik Si Ratu dan Akhirnya,Ratu Mu Ini Milik Mu Jua

Akhirnya, Aku Milik Si Ratu


(Oleh : Reza Mell)
Akhirnya Ratu mahu memandangku
dan dari lirik lirik rahsia lembut
pandangan mata Ratu
antara rindu dan cemburu 
aku karangkan
sebuah cinta jujur,
paling manis
laksana yang termanis
Cinta hijau yang menggoda leraikan
derita akar rasa
dan resah api hawa
Cinta manis jujur
untuk kamu
duhai - si Ratu aku.

Dari lembut basah merah resahnya bibirmu si Ratu
aku lorekkan sebulan purnama
kasih suci,
paling suci,
laksana yang terjernih
putih yang membongkarkan 
segala dengki dan iri
menandakan aku kini
selama apapun yang kekal
tulus dan kudus 
aku serahkan aku
pada sanubarinya si Ratu.

Mimpi ini Ratu
membawa duka gelisah sepi
tanpa aku
hanyut ke kaki
langit.

Akhirnya, Ratu Mu ini Milikmu Jua.


(Oleh : Mazura Sulaiman)
Mulanya
Kita cuma memandang dan membisu
Pandangan mata ku dan mata mu
telah menyatu dua jiwa tanpa sepatah bicara
Kita fahami erti lirik mata
Arjuna dan Ratunya
Itulah kita...
Kita berdua
Itukah namanya cinta
itukah namanya bahagia
Jika benar...
Sungguh indah rupanya
Dalam diam itu
kau dan aku tahu
kau milik ku
dan
aku milik mu

* Reza Mell merupakan antara sahabat FB saya yang aktif berkarya.  Terima kasih Reza kerana mengizinkan saya meletakkan sajak di atas dalam blog ini.  Sekali lagi, terima kasih daun keladi.

Tuesday, November 30, 2010

Bicara Sang Pemuja dan Jawaban Kepada mu : Sang Pemuja

BICARA SANG PEMUJA

(Yang merasai hati - Yang terasa jiwa)

Sungguh benar ini mesra!
Sungguh benar ini cinta!


Bicara Sang Pemuja

Kau menjelma tatkala,  gersang melanda jiwa
Belum pernah kurasa,  suasana begini bahagia.

Sungguh benar ini mesra!
Sungguh benar ini cinta!

Kunilai pada mata, kuresap pada rasa
Kucerna pada bahasa, kuucap pada kata.

Sungguh benar ini mesra!
Sungguh benar ini cinta!

Menatap wajahmu, tetiba kujadi malu
Mengulit anggunmu, terasa rindu selalu.

Sungguh benar ini mesra!
Sungguh benar ini cinta!

Bilakah bila ayu,  dapat aku ketemu
Menatap matamu, lalu bicara tidak perlu.



Nukilan: Ramlee(Nakhoda)


Jawaban kepada mu : Sang Pemuja



Benarkah bicara mu wahai pemuja ku
Benarkah kau bahagia dek kerna diri ku
Aku masih keliru
Tiada kata secantik bahasa mu
Bicara mu lewat waktu itu
meresap ke dalam kalbu, jiwa, minda ku
Namun aku masih keliru
Mengapa kau jadi malu pemuja ku
mengapa
Keliru ku bertambah keliru
kau menunduk bisu, kaku
setiap kali berada di sisi
Enggan menatap wajah ku
Dalam diam itu rupanya kau merindui ku
Jika benar kau memuja ku
Terima kasih ku pada mu
Sesungguhnya
Aku jua memuja mu.

Nukilan : Mazura Sulaiman

* Sajak ini kucoretkan setelah sifu ku Tn. Ramlee memberi cadangan dan ilham kepada ku untuk cuba menghasilkan sebuah sajak sebagai balasan kepada sajak nukilan beliau.
Terima kasih daun keladi...kerana mengizinkan saya meletakkan sajak Bicara Sang Pemuja dalam blog ini.

Tuesday, October 19, 2010

Dewan Bahasa November 2010

Hasil penulisan Kedua dalam Dewan Bahasa. Alhamdulillah

Dewan Bahasa Jun 2010

Hasil Penulisan Pertama dalam Dewan Bahasa.  Alhamdulillah.

Monday, September 27, 2010

Tabu dalam bahasa Melayu

Bahasa merupakan sistem atau alat komunikasi yang amat penting bagi manusia dalam perhubungan sehari-hari. Menurut Asmah Haji Omar, “bahasa yang digunakan merupakan sistem lambang yang mengaitkan maksud atau fikiran manusia dengan sesuatu benda yang konkrit ataupun sesuatu yang abstrak, supaya demikian pengguna bahasa dapat memahami sesuatu benda yang diperkatakan itu”.Bidang makna atau semantik merupakan sebahagian daripada ilmu linguistik yang tidak akan sempurna jika tidak ada kajian makna. Salah satu bidang makna yang dikaji ialah unsur tabu yang terdapat dalam bahasa. Masyarakat Melayu kaya dengan adat dan budaya Timur menjadi pegangan sejak dahulu. Adat, adab, dan budaya yang menjadi tradisi dalam masyarakat ini bukan sahaja menjadi ikutan, malah turut melingkungi masyarakat sebagai peraturan bersama dalam perhubungan sehari-hari. Kebersamaan dalam masyarakat inilah yang menyebabkan wujudnya peraturan-peraturan tertentu yang berunsur tabu yang menjadi suatu pegangan oleh seluruh anggota masyarakat agar adat, adab, dan budaya yang dijunjung itu terjaga. Tabu merupakan suatu strategi kesantunan yang melibatkan aspek kebahasaan supaya kesopanan, adat, dan adab yang dijunjung dalam masyarakat Melayu itu dapat dipatuhi bersama oleh setiap anggota masyarakat. Aspek kesantunan yang berunsur tabu ini merangkumi perkataan-perkataan tertentu dalam bahasa Melayu yang tidak boleh sewenang-wenangnya diucapkan dalam situasi tertentu.

MENGAPA TABU WUJUD?
Tabu dalam bahasa wujud disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor-faktor tersebut merangkumi faktor yang berkaitan dengan latar belakang masyarakat itu sendiri. Antaranya adalah seperti berikut:
(a)       Adat dan Kepercayaan
Masyarakat Melayu memiliki khazanah adat dan kebudayaan yang begitu tinggi. Adat dan budaya yang dipegang oleh masyarakat Melayu memainkan peranan penting dalam kehidupan sehari-hari. Hal-hal inilah yang menjadi panduan dalam dalam kehidupan mereka sejak dahulu. Asmah Haji Omar dalam Susur Galur Bahasa Melayu mengatakan bahawa orang-orang Melayu sebelum memeluk agama Hindu dan kemudiannya Islam, percaya pada semangat, baik pada makhluk bernyawa mahupun tak bernyawa seperti pokok-pokok, kayu-kayu besar, batu, dan sebagainya. Masyarakat Melayu menganggap benda-benda itu mempunyai semangat atau jiwa yang boleh mempengaruhi mereka

(b)       Takut
Selain unsur ghaib, masyarakat Melayu juga percaya akan kekuatan semangat binatang liar. Binatang yang biasa menjadi ketakutan masyarakat Melayu adalah seperti harimau, gajah, buaya, babi hutan, ular, dan tikus. Binatang-binatang ini dianggap boleh memberi kemudaratan kepada manusia sekiranya bertembung di hutan. Kehidupan masyarakat Melayu dahulu sangat bergantung kepada hutan kerana hutan memberikan pelbagai sumber rezeki. Oleh hal yang demikian, mereka sering masuk ke hutan untuk mendapatkan pelbagai sumbernya seperti rotan, madu, umbut, damar, dan sebagainya

c)        Unsur seks/lucah/fungsi badan
Masyarakat Melayu ialah masyarakat timur yang masih tebal dengan adat dan budaya yang tinggi nilai moralnya. Tambahan pula, sejak kedatangan Islam sejak abad ke-13, ajaran yang diterapkan oleh Islam yang berkaitan dengan moral dan akhlak sangat menepati dengan sifat masyarakat Melayu yang lemah lembut dan sangat mementingkan soal maruah dan harga diri.  Oleh hal yang demikian, soal yang berkaitan dengan tubuh badan, terutamanya yang berkaitan dengan golongan wanita serta hal rumahtangga dianggap tabu oleh masyarakat Melayu.


Sunday, June 27, 2010

GURU DAN PEMBAKUAN BAHASA ( Penulisan Pertama dalam Dewan Bahasa, Jun 2010)

Guru dan Pembakuan Bahasa Melayu
Oleh: Mazura binti Sulaiman

Pembakuan bahasa merupakan agenda nasional yang dilakukan untuk memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu. Aspek utama bahasa yang dibakukan ialah aspek ejaan, sebutan dan tatabahasa. Sebutan baku yang digagaskan oleh Kementerian Pelajaran melalui Dewan Bahasa dan Pustaka bertujuan untuk mewujudkan satu variasi sebutan baku dalam bahasa Melayu yang dapat digunakan dalam situasi rasmi. secara khusus pembakuan sebutan bermatlamat :

• Untuk mewujudkan satu variasi sebutan baku dalam bahasa Melayu yang dapat digunakan dalam situasi formal/rasmi
• Untuk meningkatkan kecekapan berbahasa Melayu dalam kalangan semua pengguna bahasa Melayu
• Untuk memantapkan sistem dan struktur dalaman bahasa Melayu iaitu supaya sistem sebutan menjadi mantap dan baku sejajar dengan pemantapan dan pembakuan tatabahasa, kosa kata, sistem ejaan dan laras bahasa
• Menyeragamkan cara berbahasa dan bertutur serta mengurangkan penggunaan pelbagai variasi dan gaya sebutan serta menghindarkan penggunaan dialek setempat dalam pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah
(Ismail Dahaman : 1994)

Dasar sebutan sebutan baku ada menggariskan bahawa sebutan huruf, kata mahupun ayat mestilah berdasarkan sebutan fonemik ,sebutan berdasarkan ejaan dan setiap huruf dilafazkan menurut nilai bunyinya dalam bahasa Melayu
Dalam hal ini sudah menjadi tanggungjawab kepada seorang guru khususnya guru bahasa Melayu agar mereka sendiri turut sama mempraktikkan situasi yang sejajar dan sewajarnya semasa mempraktikkan aktiviti lisan di hadapan anak muridnya. Guru bahasa Melayu itu sendiri pula perlulah mampu menunjukkan kreadibiliti bertutur petah dengan menggunakan sebutan dan intonasi yang betul dalam pelbagai situasi serta lebih baik sekali mampu pula menggunakan bahasa baku yang meliputi ejaan, kosa kata, tatabahasa,dan sebutan yang betul dalam aktiviti mendengar, bertutur, selain membaca,dan menulis;; Dalam hal ini para guru perlulah peka dengan variasi bahasa yang wujud . Bahasa Melayu secara umumnya dapat dibahagikan kepada tiga jenis variasi, iaitu idiolek, dialek kawasan atau loghat, dan dialek sosial. Justeru demi memastikan kemenjadian semua ini guru-guru perlulah mengelakkan diri daripada dipengaruhi oleh loghat atau dialek yang telah menjadi darah daging seseorang guru itu.
Dialek ialah variasi daripada satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam satu-satu masyarakat bahasa. Dialek mempunyai bentuk tertentu, dituturkan dalam kawasan tertentu dan berbeza daripada bentuk yang standard dari segi sebutan, tatabahasa, dan penggunaan kata-kata tertentu, tetapi perbezaannya tidaklah begitu besar untuk dianggap sebagai satu bahasa yang lain. Dialek berbeza dari segi sebutan, gaya lagu bahasa, tatabahasa, malah kosa kata. Cuba kita sama-sama bayangkan apakah kesannya jika seorang guru bahasa Melayu sendiri menggunakan dialek semasa mengajar. Ini tentu menimbulkan pelbagai kecelaruan

a. Kecelaruan Sebutan
Perkataan Sebutan
Sebutan baku Dialek Kelantan Dialek Perak Dialek Kedah
kapal [kapal] [kapo] [kapε] [kapaj]
pagar [pagar] [pago] [pagכּ [paga?]

Dalam dialek Kelantan juga berlaku banyak pengguguran konsonan pada akhir kata sehingga menimbulkan kata homofon yang menyebabkan lebih banyak kekeliruan lagi kepada pelajar sekiranya guru mereka sering menggunakan dialek ini semasa melakukan aktiviti lisan. Misalnya dapat kita peroleh dari tiga perkataan berikut:

Sebutan Dialek Kelantan Perkataan
[malě] malam , malang
[padě] padam, padan. padam


b. Kecelaruan gaya lagu bahasa

Contoh: Dialek Perak biasanya mempunyai sebutan yang lebih laju daripada dialek Negeri Sembilan. Kecelaruan ini pastinya menyukarkan murid-murid menjalankan aktiviti lisan seperti syarahan dan pidato sekiranya guru mereka masih mengekalkan lagu bahasa berdasarkan dialek.

c. Kecelaruan tatabahasa

Contoh: penggunaaan imbuhan per- dalam dialek Kedah
[peRangat] - menghangatkan
[pebaik] - memperbaiki
[pependek] - memendekkan

(d) Kecelaruan kosa kata

Seseorang guru itu juga perlu menggunakan kosa kata yang standard meskipun guru tersebut telah sering menggunakan kosa kata lain dalam dialek negerinya. Dalam dialek Kedah misalnya perkataan ‘mangli’ digunakan untuk maksud ‘lali’, ‘roti’ untuk maksud ‘biskut’, perkataan ‘awat’ untuk kata tanya mengapa atau kenapa, ‘pi’ untuk maksud ‘pergi’ dan banyak lagi. Selain itu dari segi penggunaan kata ganti nama diri juga turut menimbulkan kekeliruan. Contoh ambo (dialek Kelantan bermaksud saya) dan Hang (dialek utara bermaksud kamu)

Selain dari seorang guru itu perlu mengelakkan dirinya daripada menggunakan dialek semasa mengajar, seboleh-bolehnya beliau juga perlu bijak membezakan penggunaan bahasa berdasarkan konteks juga. Berdasarkan konteks yang umum pengunaan bahasa dapat dibahagikan kepada bahasa formal dan tak formal. Sebaik-baiknya seorang guru apabila berhadapan dengan anak muridnya perlu mengelakkan diri daripada menggunakan bahasa yang tidak formal.

Bahasa tidak formal ialah bahasa mesra, bahasa slanga, bahasa basahan, bahasa pasar, bahasa halus, bahasa kasar, dan sebagainya. Bahasa formal dan bahasa tak formal dapat dibezakan dengan membandingkan ragam bahasa bebas dan bahasa terkawal, dan ragam bahasa mesra dan bahasa formal.

Ragam Bahasa Bebas dan Bahasa Terkawal
Ragam Bahasa Bebas Bahasa Terkawal
Ayat yang tidak gramatis.
Tidak mementingkan aspek sebutan, intonasi, pilihan perkataan, struktur ayat, dan tatabahasa.
Contoh: You ni betullah degil sangat. I dah warning you banyak kali, supaya you siapkan homework ini hari ni juga. Ayat yang gramatis
Mementingkan aspek-aspek sebutan intonasi, pilihan perkataan, struktur ayat dan tatabahasa.
Contoh: Kamu sangat degil. Saya telah berkali-kali memberi amaran supaya kamu menyelesaikan kerja rumah ini pada hari ini juga.


Bahasa Basahan
Bahasa basahan juga disebut sebagai bahasa kolokial. Pendeta Za'aba menggelar bahasa ini sebagai bahasa cakap mulut. Ia merupakan bahasa pertuturan harian dalam konteks tidak rasmi.

Terdapat tiga jenis perbezaan antara bahasa baku dengan bahasa basahan, iaitu:
(a) perkataan berbeza untuk makna yang serupa
Bahasa Baku Bahasa Basahan
mengapa kenapa
bagaimana macam mana
sedang tengah


(b) bentuk kependekan
Bahasa Baku Bahasa Basahan
hendak nak
tidak tak
sudah dah
mahu mau

(c) perubahan bunyi
Bahasa Baku Bahasa Basahan
ambil ambik
kecil kecik
pula pulak


Bahasa Slanga
Bahasa tidak rasmi dan tidak baku. Bahasa Slanga dianggap lebih rendah tarafnya daripada bahasa standard. dalam perkembangan arus pemodenan sekarang penggunaan bahasa slanga kian menular. Kata-kata remaja seperti brader, awek, pakwe, mengancam, sekeh, boring.dan banyak lagi sering dituturkan dalam kalangan remaja. Hendaknya guru-guru tidaklah juga terikut-ikut menggunakan bahasa slanga terutama semasa berhadapan dengan anak murid di dalam kelas bahasa Melayu pula.

Bahasa Pasar
Bahasa asimilasi antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa bukan Melayu
Pelat penyebutan dipengaruhi oleh pelat bahasa ibunda penutur. Tidak gramatis dengan mengabaikan hukum DM dan penggunaan penjodoh bilangan.

Contoh: Pengunaan Gua menggantikan saya (ganti diri orang pertama) dan `lu' (ganti diri nama kedua).
Menggunakan perkataan ‘banyak’ sebagai kata penguat, contoh: banyak cantik.
Kerap menggunakan perkataan `punya' , contoh: dia punya barang, apa punya budak.

Bahasa Kasar
Bahasa yang dihamburkan dengan mengikut perasaan. Sebagai seorang guru sudah semestinya perlu mengelakkan diri daripada menggunakan bahasa kasar ini memandangkan penggunaannya bukan sahaja merosakkan keindahan bahasa Melayu itu sendiri malah menunjukkan kerendahan budi bahasa juga. Kata-kata kesat ialah contoh bahasa kasar seperti bangang, bodoh, anak haram tak guna,tak berotak dan sebagainya. Ada pihak yang mengatakan perkataan jantan dan betina, jika ditujukan kepada manusia juga tergolong dalam bahasa kasar kerana disamakan dengan haiwan.Bagaimanapun, kesannya kepada orang lain adalah subjektif, kerana adakalanya bahasa yang dianggap kasar di kawasan tertentu dianggap gurauan atau bahasa cakap mulut di kawasan yang lain. Misalnya anak jantan dianggap satu gelaran yang tinggi manakala perkataan celaka diaggap kesat di kebanyakan negeri, tetapi dianggap biasa di Melaka.
Sesungguhnya guru-guru amat perlu berhati-hati semasa bertutur. pertuturan seorang gur u itu mengambil kira banyak aspek bahasa bukan sahaja berkaitan perkara-perkara yang telah dibincangkan di atas tetapi lebih daripada itu lagi. Misalnya dalam kebanyakan bahasa perbezaan bunyi akan membawa perubahan makna. Misalnya:

BAHASA MELAYU BAHASA INGGERIS
1. telor - telur 1. see - sea
2. tempoh - tempuh 2. floor - flour
3. tembok - tembuk 3. sheep - ship
4. seloroh - seluruh 4. floor - flour

Jikalau perkataan itu disalahgunakan dalam ayat maka lebih jelaslah kelihatan peranan atau fungsi tatabahasa tersebut. Misalnya:

• Awang bercakap telur Terengganu
• Telor penyu di Rantau Abang enak
Dek kerana itulah guru itu sendiri mampu membezakan bunyi huruf dalam perkataan-perkataan sebegini. Permasalahan ini lebih meruncing apabila seseorang guru itu sendiri tidak mampu membezakan bunyi vokal e pepet (e) dengan e taling(ě) dalam banyak perkataan contohnya :
bêlok bělot belut bena lengkung lěngkong
sělok seluk těkad tekat tělor telur
těmbok tempuh těmpoh těpok tepuk aněh
kagět pěka sěrět lěpak pělat perak
Pěrak sěwa sewah ěndah ěnak ěsak
ědar ěkar satě taugě sorě těmpě
taukě sosialisme egoisme amylase ondě-ondě

Selain itu seorang guru juga haruslah sentiasa berhati-hati apabila menyebut perkataan homograf kerana perkara ini juga perlu diberi perhatian misalnya :


SEBUTAN MAKNA
[sêpak] Pukulan dengan kaki
[sepak][ Tampar dengan tapak tangan
[pêrang] Warna merah yang kehitam-hitaman
[perang] Perkelahian, pertempuran
[sêlak] Menyingkap,menyinsingkan
[selak] Penyelak, sejenis kayu palang
[sêmak] Menyemak, meneliti
[semak] Semak-samun
[sêbak] Sejenis kertas
[sebak] Sedih

Menjadi guru yang perkasa bermakna perkasa dari aspek profesionalismenya. Di dalam Islam guru sebenar guru ini dikelaskan sebagai:

• Al-mu'allim : menyampaikan ilmu yang benar
• Al-murabbi : menjayakan proses tarbiah
• Al-mu'addib : mengajarkan adab dan budi pekerti
• Al-mursyid : membentuk kepimpinan insan
• Al-mudarris : menitipkan pelajaran dan kemahiran

Seorang guru yang perkasa tidak akan cepat menyalahkan keadaan dan tempat sebelum ia menyalahkan dirinya terlebih dahulu, dan di samping itu pula berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri ke tahap yang paling tinggi. Dalam hal ini para guru perlulah peka dengan senario pentingnya guru sebagai model lisan kepada anak muridnya seperti yang dikemukakan dalam artikel ini. Janganlah hendaknya nanti benar-benar berlaku apa yang digambarkan oleh pepatah “ Guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari’.

Sunday, April 18, 2010

PANTUN KASIH

Pakai cincin di jari manis,
Bawa saksi mangga dua,
Abang pimpin jangan nangis,
Sudah jodoh kita berdua.

Kain batik kepala dua,
Pakai mari sebelah kiri,
Sudah suka kita berdua,
Orang lain jangan peduli.

Sayang gulatik burung guladan,
Sayang tekukur terbang tinggi,
Sudah cantik sama padan,
Mari ukur siapa yang tinggi.

Sayang tekukur gulainya lemak,
Sayang selasih di bawa batang,
Sudah lumpur berjalan semak,
Kerana cik adik saya mendatang.