BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, September 27, 2010

Tabu dalam bahasa Melayu

Bahasa merupakan sistem atau alat komunikasi yang amat penting bagi manusia dalam perhubungan sehari-hari. Menurut Asmah Haji Omar, “bahasa yang digunakan merupakan sistem lambang yang mengaitkan maksud atau fikiran manusia dengan sesuatu benda yang konkrit ataupun sesuatu yang abstrak, supaya demikian pengguna bahasa dapat memahami sesuatu benda yang diperkatakan itu”.Bidang makna atau semantik merupakan sebahagian daripada ilmu linguistik yang tidak akan sempurna jika tidak ada kajian makna. Salah satu bidang makna yang dikaji ialah unsur tabu yang terdapat dalam bahasa. Masyarakat Melayu kaya dengan adat dan budaya Timur menjadi pegangan sejak dahulu. Adat, adab, dan budaya yang menjadi tradisi dalam masyarakat ini bukan sahaja menjadi ikutan, malah turut melingkungi masyarakat sebagai peraturan bersama dalam perhubungan sehari-hari. Kebersamaan dalam masyarakat inilah yang menyebabkan wujudnya peraturan-peraturan tertentu yang berunsur tabu yang menjadi suatu pegangan oleh seluruh anggota masyarakat agar adat, adab, dan budaya yang dijunjung itu terjaga. Tabu merupakan suatu strategi kesantunan yang melibatkan aspek kebahasaan supaya kesopanan, adat, dan adab yang dijunjung dalam masyarakat Melayu itu dapat dipatuhi bersama oleh setiap anggota masyarakat. Aspek kesantunan yang berunsur tabu ini merangkumi perkataan-perkataan tertentu dalam bahasa Melayu yang tidak boleh sewenang-wenangnya diucapkan dalam situasi tertentu.

MENGAPA TABU WUJUD?
Tabu dalam bahasa wujud disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor-faktor tersebut merangkumi faktor yang berkaitan dengan latar belakang masyarakat itu sendiri. Antaranya adalah seperti berikut:
(a)       Adat dan Kepercayaan
Masyarakat Melayu memiliki khazanah adat dan kebudayaan yang begitu tinggi. Adat dan budaya yang dipegang oleh masyarakat Melayu memainkan peranan penting dalam kehidupan sehari-hari. Hal-hal inilah yang menjadi panduan dalam dalam kehidupan mereka sejak dahulu. Asmah Haji Omar dalam Susur Galur Bahasa Melayu mengatakan bahawa orang-orang Melayu sebelum memeluk agama Hindu dan kemudiannya Islam, percaya pada semangat, baik pada makhluk bernyawa mahupun tak bernyawa seperti pokok-pokok, kayu-kayu besar, batu, dan sebagainya. Masyarakat Melayu menganggap benda-benda itu mempunyai semangat atau jiwa yang boleh mempengaruhi mereka

(b)       Takut
Selain unsur ghaib, masyarakat Melayu juga percaya akan kekuatan semangat binatang liar. Binatang yang biasa menjadi ketakutan masyarakat Melayu adalah seperti harimau, gajah, buaya, babi hutan, ular, dan tikus. Binatang-binatang ini dianggap boleh memberi kemudaratan kepada manusia sekiranya bertembung di hutan. Kehidupan masyarakat Melayu dahulu sangat bergantung kepada hutan kerana hutan memberikan pelbagai sumber rezeki. Oleh hal yang demikian, mereka sering masuk ke hutan untuk mendapatkan pelbagai sumbernya seperti rotan, madu, umbut, damar, dan sebagainya

c)        Unsur seks/lucah/fungsi badan
Masyarakat Melayu ialah masyarakat timur yang masih tebal dengan adat dan budaya yang tinggi nilai moralnya. Tambahan pula, sejak kedatangan Islam sejak abad ke-13, ajaran yang diterapkan oleh Islam yang berkaitan dengan moral dan akhlak sangat menepati dengan sifat masyarakat Melayu yang lemah lembut dan sangat mementingkan soal maruah dan harga diri.  Oleh hal yang demikian, soal yang berkaitan dengan tubuh badan, terutamanya yang berkaitan dengan golongan wanita serta hal rumahtangga dianggap tabu oleh masyarakat Melayu.


2 comments:

mugmerah said...

thanx... post anda membantu assignment saya.. :)

telapokstella said...

tabu berkait rapat dengan sosiolinguistik iaitu antara masyarakat dan bahasa. akibat kekangan dari masyarakat melayu yang kaya dengan pelbagai unsur-unsur tersirat maka tabu ini digunakan bagi mengelak berlakunya percakapan secara terus yang kadang kala boleh menimbulkan rasa malu, marah dan sebagainya.