BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, January 25, 2011

Ilham ku, Ilham mu akhirnya menyatu

Mazura Sulaiman
Ilham ku, ilham mu
bisa menyatu menjadi satu
satu yang menjadi penentu
dua jiwa
dua rindu
dua kalbu
bisakah menjadi pengubat rindu
untuk mereka-mereka
yang dilanda gelora cinta syahdu







Zaini Sh


Semakin jauh semakin rindu
mahu bersatu di alam rindu
biar ketemu kau dan aku
walau jauh beribu batu
kerana kasih tak tentu jemu

Berlagulah kasih dendangkan rindu
mahu kudengar mengubat sendu
terlalu lama mengunci dendam kalbu
menunggu di sini nanti kehadiranmu

Gee Ahmad
               


Bila bicara ..bicara rindu
rindu bersatu kau dan aku
menyinari kalbu tak pernah jemu



Menjauh kasih tidak mungkin terdaya


indah bicara damai terasa 


Kris Ng




akan ku tunggu
di malam salju
agar kau dan aku
menghilangkan rindu




ilham
kemana dikau pergi
lama sudah ku nanti
berjanji sehidup semati
namun aku ternanti-nanti
ilham
janji dikau engkar
buat teman ku hindar
ilham
aku dimarahi
aku disakiti
kerana kau dia menghilang tiada pengganti










Terima kasih teman...ilhamku, ilham mu, ilham kita...akhirnya menyatu.

Wednesday, January 5, 2011

Tahun ini usiaku...


Gembira, sedih atau malu ?

Kehidupan di dunia ini tiada yang akan kekal abadi selama-lamanya.  Semua orang akan melalui proses penuaan sekiranya ditakdirkan Allah kita panjang umur.  Kita memohon kepada Allah supaya dipanjangkan usia kita tetapi dalam masa yang sama kita takut menjadi tua.  Justeru bagaimanakah penerimaan kita terhadap peningkatan usia?

Ada orang malu untuk mengaku usianya sudah pun mencecah angka tertentu.  Peningkatan usia menandakan kita semakin tua dan semakin menghampiri gelaran warga emas.  
Sebaliknya ada orang yang semakin gembira apabila usia mereka bertambah dari tahu  ke tahun.  Mereka menghadapi kehidupan seperti biasa.  Penurunan hormon dan panggilan makcik atau pakcik diterima dengan hati terbuka.  Mereka tetap positif dan menjadikan isu ini sebagai satu lumrah alam.

Penuaan ialah proses semulajadi yang tetap akan berlaku.  Walau apa juga yang terjadi di dunia ini masa tetap berjalan tanpa henti sehingga lah Allah menetapkan bila berlakunya hari kiamat.  Justeru, seseorang itu tidak dapat menolak proses penuaan.  Menurut Dr. Aizan Hj Ali pensyarah di Akademi Pengajian Islam , UM, penuaan ialah salah satu istilah bagi menunjukkan hakikat yang satu iaitu sifat semulajadi makhluk yang tidak kekal.  Fenomena ini sebagai bukti nyta bahawa kehidupan kita adalah sementara (fana) dan berlawanan dengan sifat Allah yang kekal (baqa') .  Proses penuaan boleh lah kita katakan merupakan salah satu ujian Allah terhadap sikap reda dan syukur.  Kita sebelum ini telah diberikan peluang untuk muda.

Minda atau emosi adalah antara perkara yang perlu diberi perhatian apabila usia semakin meningkat.  jangan sesekali terasa diri sudah tidak berguna, sudah tidak cantik lagi dan semakin buruk.  Kulit yang semakin kendur, urat-urat yang semakin menonjol hanyalah ciri-ciri luaran  walhal seiring dengan peningkatan usia diri kita semakin bertambah pengalaman dan kematangan. Teringat pula saya kepada bait-bait sajak Kelapa Tua oleh salah seorang sahabat FB saya Tuan Ramlee Wahab.  Bagi orang lelaki pabila usia semakin meningkat, mereka menjadi rebutan ramai anak gadis. Benarkah??  Pada saya ada benarnya juga (sekadar memberi semangat kepada orang lelaki agar menerima proses peningkatan usia dengan positif).

Bersedia lah kita menghadapi hari tua dengan ilmu dan amal yang baik bagi meningkatkan kualiti iman serta kehidupan.  Sesungguhnya mereka yang gagal membuat persedaan ialah individu yang telah gagal sebelum sampai ke medan perjuangan.

Rakan FB saya Tn. Ramlee Wahab memberi komen berikut :

 Saya terpanggil melontarkan bicara kerana catatan penulis ada memetik buah fikiran (karya Kelapa Tua) saya (jutaan terima kasih-Maz) Saya sekadar berkarya, melontar idea sekadar 'bermain-main' dengan bahasa dan mahu berkongsi rasa dan pendapat dengan para sahabat. ‘Tua’, satu istilah yang klise sekiranya kita tidak dapat memandang daripada pelbagai sisi kehidupan dan kenyataan hari tua itu. Adakah usia 80-70-60-50 itu dianggap tua dan mengapa fobia bagi sesetengah kita soal menghadapi usia sedemikian?

Karya saya menyatakan sebuah fragmen kehidupan seseorang yang dikira atau dianggap tua tetapi sebenarnya pada dirinya (atau sesiapa juga) tua itu cuma istilah ciptaan bukan pembuktian sesuatu teori. Soal Ilahi itu, sejak kecil sewajarnya kita sudah mengabdikan diri terhadap Ilahi, bukan menunggu saat dan ketika lanjut usia.  Sewajarnya waktu mudalah kita perlu waspada (jangan banyak melakukan dosa) khuatir tak terlunaskan kelak (itupun kalau panjang umur)


Soalnya sekarang, adakah tua seseorang itu mendatangkan 'kemanfaatan' kepada masyarkat atau sebaliknya. Itu wajar untuk kita renung dan fikirkan. Pada saya, tua itu berkaitan rapat dengan 'kematangan' (kerana telah menempuh pelbagai pengalaman) sebab itu ada perempuan (dara atau pun janda) berasa selesa bersama-sama lelaki yang telah lanjut umurnya, kerana mereka tidak lagi bersikap 'keanak-anakkan' atau berperangai 'kebudak-budakan' malah statistik zaman sekarang menunjukkan jumlah perceraian umur muda itu semakin meningkat saban tahun nah! petanda apa ini sebenarnya?


Karya saya...(bukan sekadar perkataan-mudah-mudah saja) bagi mereka yang mahu membuka mata dan berfikiran 3 dimensi serta merenung dengan matahati dan melihat jauh kehadapan dengan matafikir tentunya akan menemukan sesuatu yang sebenarnya terlalu 'intim' dengan jiwa dan perasaan sendiri kalau bukan masa lalu, mungkin masakini dan paling tidak masa hadapan. Apakah kita mahu mengakui itu (jujur dengan diri sendiri...terpulang) salam hormat para sahabat dan Mazura juga.

SAJAK: KELAPA TUA


Sedap satu tambahnya dua
'Orang lama' belumlah 'tua'
Abang kampung adik universiti
Manfaatkanlah ilmu nan tinggi.

Kerana fitrah abang ini adil
Kasih abang umpama kandil
Fikiran tidaklah selicik Kancil
Takdir Tuhan sudah memanggil.

Untukmu 'pertama' segala-galanya
Jadilah contoh kepada 'kedua'
Berbaik sangka umur pun panjang
Hati lapang jiwa pun tenang.

Kalau rezeki zahir berlebih
Wajar abang cuba menggagih
Jangan adik menjadi haloba
Hukum Tuhan jangan dialpa.

Makan hati berulam jantung
Berpoligami membawa untung
Seorang uzur boleh berehat
Yang sihat boleh merawat.

Berplogami menghindar maksiat
Hasrat jahat boleh disekat
Kurang andartu terbela masyarakat
Tua dan muda mendapat berkat.

Ikutilah contoh isteri Nabi
Hidup bersama restu Ilahi
Aman bahagia di ruang duniawi
Balasan senang di alam syurgawi.

Diri adik abang sanjungi
Usah gerhana berwalang hati
Musyawarah kita hayati
Perkara kasar kita perhalusi.

Kalau takdir sudah tersurat
Tiada siapa dapat menyekat
Mencari tidak dapat tak lepas
Nafsu terkawal bukannya bebas.

Marilah bersama kita renungkan
Telek pandang kita fikirkan
Kejadian ada rahmat dan hikmah
Penting segalanya mengikut sunnah.

Nukilan:Ramlee(Nakhoda)
Hakcipta Terpelihara.

Saturday, December 18, 2010

Biar lah Rahsia

Pagi tadi
kita berbicara bagai sudah kenal lama
bait demi bait kata
silih berganti antara kita
Cara mu mempersona
Ceritamu penuh ceria
Tiada langsung kisah duka
Pastinya kau insan yang penuh bahagia
Namun aku masih tertanya-tanya
Apakah kau seperti ku jua
Biarlah itu menjadi rahsia...
Dan demi masa
Pastinya kita akan tahu jua
Siapa diriku
Siapa dirimu
Namun
yang rahsia tetap rahsia
Kerna rahsia kekadang mengeratkan kita

Monday, December 6, 2010

Sajak Bujang dan Dara : Tiada Jodoh Kita

Tatkala sejarah cintaloka
Adam dan Hawa
Uda dan Dara
Qaisy dan Laila
melafazkan cinta
dunia terasa milik mereka
bahagia terasa di mana-mana
kemanisan terasa semata-mata


Walau ribut membadai menggila
Walau gelora menggegar samudera 
diredah umpama sejuk salju adanya
Waktu itu tiada lainnya buat si uda cuma si dara
Waktu itu tiada indahnya
hanya lagu cinta asmara berlagu tika bertentang mata

Namun, antara rona dunia
siapa sangka siapa menduga
Lagu cinta nyanyian dua jiwa terhenti tanpa sepatah bicara
dara di sini uda di sana masing-masing dengan haluannya
kau miliknya aku milik si dia masing-masing dengan agendanya


Itulah takdir maha Esa
walau seribu tahun menerpa
walau sesaat berputar masa
andai jodoh kita tiada 
pasrahlah dengan ketentuanNya.

*Sajak Bujang dan Dara: Tiada jodoh kita-selepas disunting oleh En. Ramlee Wahab
terima kasih daun keladi,lain kali minta tunjuk ajar lagi.

Saturday, December 4, 2010

Sajak Akhirnya, Aku Milik Si Ratu dan Akhirnya,Ratu Mu Ini Milik Mu Jua

Akhirnya, Aku Milik Si Ratu


(Oleh : Reza Mell)
Akhirnya Ratu mahu memandangku
dan dari lirik lirik rahsia lembut
pandangan mata Ratu
antara rindu dan cemburu 
aku karangkan
sebuah cinta jujur,
paling manis
laksana yang termanis
Cinta hijau yang menggoda leraikan
derita akar rasa
dan resah api hawa
Cinta manis jujur
untuk kamu
duhai - si Ratu aku.

Dari lembut basah merah resahnya bibirmu si Ratu
aku lorekkan sebulan purnama
kasih suci,
paling suci,
laksana yang terjernih
putih yang membongkarkan 
segala dengki dan iri
menandakan aku kini
selama apapun yang kekal
tulus dan kudus 
aku serahkan aku
pada sanubarinya si Ratu.

Mimpi ini Ratu
membawa duka gelisah sepi
tanpa aku
hanyut ke kaki
langit.

Akhirnya, Ratu Mu ini Milikmu Jua.


(Oleh : Mazura Sulaiman)
Mulanya
Kita cuma memandang dan membisu
Pandangan mata ku dan mata mu
telah menyatu dua jiwa tanpa sepatah bicara
Kita fahami erti lirik mata
Arjuna dan Ratunya
Itulah kita...
Kita berdua
Itukah namanya cinta
itukah namanya bahagia
Jika benar...
Sungguh indah rupanya
Dalam diam itu
kau dan aku tahu
kau milik ku
dan
aku milik mu

* Reza Mell merupakan antara sahabat FB saya yang aktif berkarya.  Terima kasih Reza kerana mengizinkan saya meletakkan sajak di atas dalam blog ini.  Sekali lagi, terima kasih daun keladi.

Tuesday, November 30, 2010

Bicara Sang Pemuja dan Jawaban Kepada mu : Sang Pemuja

BICARA SANG PEMUJA

(Yang merasai hati - Yang terasa jiwa)

Sungguh benar ini mesra!
Sungguh benar ini cinta!


Bicara Sang Pemuja

Kau menjelma tatkala,  gersang melanda jiwa
Belum pernah kurasa,  suasana begini bahagia.

Sungguh benar ini mesra!
Sungguh benar ini cinta!

Kunilai pada mata, kuresap pada rasa
Kucerna pada bahasa, kuucap pada kata.

Sungguh benar ini mesra!
Sungguh benar ini cinta!

Menatap wajahmu, tetiba kujadi malu
Mengulit anggunmu, terasa rindu selalu.

Sungguh benar ini mesra!
Sungguh benar ini cinta!

Bilakah bila ayu,  dapat aku ketemu
Menatap matamu, lalu bicara tidak perlu.



Nukilan: Ramlee(Nakhoda)


Jawaban kepada mu : Sang Pemuja



Benarkah bicara mu wahai pemuja ku
Benarkah kau bahagia dek kerna diri ku
Aku masih keliru
Tiada kata secantik bahasa mu
Bicara mu lewat waktu itu
meresap ke dalam kalbu, jiwa, minda ku
Namun aku masih keliru
Mengapa kau jadi malu pemuja ku
mengapa
Keliru ku bertambah keliru
kau menunduk bisu, kaku
setiap kali berada di sisi
Enggan menatap wajah ku
Dalam diam itu rupanya kau merindui ku
Jika benar kau memuja ku
Terima kasih ku pada mu
Sesungguhnya
Aku jua memuja mu.

Nukilan : Mazura Sulaiman

* Sajak ini kucoretkan setelah sifu ku Tn. Ramlee memberi cadangan dan ilham kepada ku untuk cuba menghasilkan sebuah sajak sebagai balasan kepada sajak nukilan beliau.
Terima kasih daun keladi...kerana mengizinkan saya meletakkan sajak Bicara Sang Pemuja dalam blog ini.

Tuesday, October 19, 2010

Dewan Bahasa November 2010

Hasil penulisan Kedua dalam Dewan Bahasa. Alhamdulillah