BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, August 25, 2011

WANITA CANTIK PENYEBAB STRES


Siapa yang tidak suka wanita cantik.  Semua wanita pun berlumba-lumba mahu kelihatan cantik.  Daripada jamu, kosmetik, pil, suntikan kolagen dan botox sehingga bedah plastik sentiasa menjadi dambaan kebanyakan wanita.
Tetapi  sebenarnya,  cantik bukan elemen yang menyenangkan bagi kaum lelaki.  Menurut satu keji selidik, wanita cantik yang selalunya dikaitkan menjadi tarikan sebaliknya hanya ,membuat lelaki berasa tertekan.  
Satu kaji selidik yang dilakukan di Sepanyol mendapati berdampingan dengan wanita cantik menjadi satu cabaran kepada lelaki.  Para penyeldik menyatakan berbual singkat walaupun hanya lima minit dengan wanita cantik merupakan satu tekanan kepada lelaki sehingga menyebabkan mood menjadi buruk.
Kenapa?  Didapati jumlah adrenalin yang dilepaskan oleh lelaki semasa berbual dengan wanita cantik sama tingginya dengan seseorang yang akan melakukan terjunan payung terjun.  Bayangkan suspens, debaran mahupun keterujaan yang perlu ditanggunga dalam keadaan begitu.
Kehadiran wanita cantik akan membuatkan sebahagian besar lelaki begitu berharap untuk menjalin hubungan lebih akrab, ke tahap menjadi kekasih umpamanya.
Dan khabar buruk untuk wanita cantik, hubungan mereka dalam jangka panjang secara automatik juga akan membuatkan hidup lelaki menjadi stres.
Kalau berbual selama 5 minit pun satu tekanan, inikan pula untuk hubungan dalam jangka masa panjang yang sudah tentu banyak cabaran dan ujiannya.

Khabar baik nya kepada wanita cantik di Malaysia ialah kaji selidik itu dilakukan di Sepanyol yang tentu sekali budaya dan cara berfikir masyarakatnya berbeza.
Lihatlah sekeliling. Wanita cantik di Malaysia bukan sahaja cantik fizikal tetapi juga dalamannya yang membuatkan lelaki di Malaysia akan berasa damai, lalu melenyapkan stres yang ada.
Anda setuju???

DI ALAM MAYA MACAM-MACAM ORANG ADA


Dari yang kecil, dewasa hingga lah yang 'senior' ramai yang memanfaatkan ICT dalam kehidupan seharian mereka. Jika mula-mula dulu agak kekok dan mengambil masa untuk belajar dan membiasakan diri, sekarang ramai yang sudah semakin mahir. Setakat berbalas e-mel atau berbual di laman sembang bukan masalah lagi. Malah mengemaskini perkembangan diri dan gambar di laman sosial facebook (FB), twitter dan sebagainya tidak lagi asing bagi kebanyakan kita.
Memang seronok apabila membaca komen teman-teman di FB. Ada yang selang beberapa minit update gambar terkini, beritahu sedang buat apa, upload video dari youtube dan tak sedikit juga yang meluahkan rasa hati. Malah ramai yang bertaut kembali tali persahabatan yang terputus setelah 'terjumpa' rakan sekolah di FB. Paling menarik kita disajikan kisah "bertemu jodoh" di FB.
Itu bab yang menarik. namun disebalik yang indah-indah ada juga terselit kisah yang menyentuh hati hingga ada yang terguris. Misalnya ada rakan yang di luar alam maya kata-kata yang dilontarkan amat manis dan bersopan santun, tetapi di alam maya dengan sesuka hati bercakap (menulis) ikut perasaan. Buktinya sekarang kita banyak disajikan dengan kes-kes saman malu dan sebagainya gara-gara kes sebegini.Paling menyakitkan boleh timbul pula sifat dengki, cemburu, fitnah, tohmahan, dan pelbagai gejala negatif lain. Paling menarik semua itu dalam kalangan rakan FB yang tidak pernah bertemu secara bertentang mata, tidak pernah mendengar suara antara mereka. Hairan tapi perkara ini memang berlaku.
Sesungguhnya bukan semua yang dibawa oleh teknologi itu tidak baik. Malah dalam banyak keadaan teknologi yang canggih memudahkan urusan kita seharian. Namun jika digunakan secara salah dan tidak berhemah oleh segelintir pihak, kesannya amat buruk bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain.
Benar, teknologi tidak bersalah, tetapi yang salah ialah manusia yang menyalahgunakannya sehingga menimbulkan masalah.
Fikir-fikirkan

MAKAN UNTUK HIDUP, HIDUP UNTUK MAKAN


Semasa menghadiri satu seminar, penceramah nya kalau tak silap saya Dr. HM Tuah Iskandar, beliau ada membuat jenaka tentang persoalan kaum mana kah yang paling kuat makan di Malaysia.  Menurut beliau, orang Melayu merupakan masyarakat Malaysia yang paling kuat makan.  Benarkah?  Ramai peserta seminar tidak setuju dengan kenyataan beliau.
Alasan beliau :
Ketika seseorang itu dilahirkan, apakah yang akan dilakukan oleh ibu bapanya?  Kenduri
Ketika nak berkhatan? Kenduri
Ketika dapat keputusan baik dalam peperiksaan? Kenduri
Ketika dapat masuk universiti? Kenduri
Ketika tamat pengajian dengan cemerlang? Kenduri
Ketika mendapat pekerjaan? Kenduri
Ketika hendak bertunang? Kenduri
Ketika hendak berkahwin? Kenduri
Ketika mendapat anak? Kenduri

Bahkan hingga mati pun masih ada kenduri.  Pada sesetengah tempat sampai tiga malam berturut-turut dan akan dibuat setelah 40 hari, 60 hari dan setiap tahun berikutnya.  Agak melucukan juga alasan yang diberikan, tapi ada logiknya juga kan.

Budaya makan orang kita dahsyat.  Bayangkan sahaja 15 ribu orang diberitakan membanjiri Stadium Titiwangsa , Kuala Lumpur hanya untuk memohon lesen sementara berniaga sempena bulan Ramadhan 2010 yang lalu di kawasan Lorong Tunku Abdul rahman dan Jalan Masjid India.  15 ribu itu ialah para peniaga bermakna para pembelinya boleh jadi sepuluh kali ganda.  Dan bahan jualan yang paling laris atau paling banyak dijual tentunya bahan-bahan juadah makanan jua.  Itu hanya untuk dua lokasi di KL belum lagi di seluruh Malaysia yang setiap kali tibanya bulan Ramadhan kita sentiasa berpesta di bazaar Ramadhan.

Budaya makan keterlaluan dan tanpa mengira waktu menjadi punca pelbagai penyakit termasuk kegemukan atau obesiti di kalangan rakyat Malaysia. Kebanyakan rakyat negara ini kurang berdisiplin dalam soal pemakanan seperti makan makanan yang digemari secara berlebihan dan tidak peduli jika mengambilnya sebelum tidur. Mereka makan pada waktu malam, sebagai contoh pada pukul 11 atau 12 malam dan selepas itu terus tidur. Bagi penggemar roti canai atau nasi lemak pula makan tidak kira pagi atau malam, sampai 10 kali seminggu sedangkan itu tidak baik untuk kesihatan budaya pemakanan seperti itu mengundang implikasi tidak baik kepada tubuh manusia. Makan sebelum tidur menyukarkan proses penghadaman dan makanan akan disimpan menjadi lemak dalam tubuh badan. Budaya pemakanan di kalangan rakyat Malaysia perlu diubah bagi menggalakkan gaya hidup yang sihat. Masyarakat masih kurang berdisiplin serta mempunyai sikap yang terlalu obses terhadap sesuatu makanan.

Acap kali kita didedahkan tentang perihal warga metropolitan yang lebih gemar membeli kudapan atau makan di luar dan seringkali juga budaya makan di luar ini berhubung kait dengan permasalahan kesihatan. Tidak dinafikan makan di luar adalah cara paling mudah untuk menikmati hidangan yang enak dan menyelerakan tetapi kesedapan sebenarnya mampu menjadi `racun’ kepada kesihatan. Bayangkan penggunaan serbuk perisa, pewarna, minyak serta gula yang berlebihan dicampurkan sebagai ramuan dalam masakan yang sebenarnya boleh memudaratkan. Di samping itu, ramuan untuk penyediaan makanan juga adalah di luar pengetahuan pengguna tentang status halal dan juga mutunya yang boleh menimbulkan tanda tanya kepada pengguna.

Langkah terbaik untuk menjaga kesihatan di peringkat awal ini adalah amalan menyediakan atau memasak juadah hasil air tangan sendiri. Sedikit sebanyak ia juga dapat memberi kepuasan serta menjamin kebersihan, lantas kesihatan sekeluarga dapat dipelihara. Realitinya, masyarakat terlalu mementingkan masa sehingga mengabaikan kesihatan. Oleh itu, pinjamkan sedikit masa untuk menjadikan budaya makan dirumah sebagai amalan hidup warga kita.

Peradaban dan budaya makan bagi pelbagai golongan etnik di Asia merupakan warisan tingkah laku zaman-berzaman. Bagi mereka, cara yang terbaik untuk menikmati hidangan makanan ialah dengan menggunakan cara yang diamalkan oleh golongan etnik masing-masing.    Budaya makan dengan  menggunakan tangan biasanya diamalkan oleh masyarakat  di Timur Tengah, India dan beberapa negara di Asia Tenggara. Lazimnya, tangan  dibasuh sebelum dan selepas makan. Tangan yang dibasuh  sendiri adalah lebih bersih jika dibandingkan dengan sudu ataupun garpu yang dibasuh oleh seseorang yang kemungkinan tidak dapat dipastikan kebersihannya.   Masyarakat Islam dan Hindu menggunakan tangan kanan untuk menyuap makanan. Mereka biasanya makan bersila dengan hidangan makanan diletakkan di tengah-tengah tetamu.

Masyarakat yang menggunakan kayu penyepit biasanya menggunakan mangkuk sup dan mangkuk nasi masing-masing sewaktu menikmati hidangan. Mereka akan duduk di meja  makan dan menggunakan kayu penyepit untuk mengambil lauk-pauk. Budaya makan seperti ini telah memungkinkan  penggunaan mangkuk nasi dan kayu penyepit yang dikhaskan untuk setiap ahli keluarga. Sudu, garpu dan pisau mula digunakan di meja makan dalam masyarakat Barat pada awal kurun ke-17. Penggunaan kayu penyepit oleh masyarakat Cina dikatakan bermula pada kurun kedua Sebelum Masihi. Jepun, Korea dan Vietnam yang kuat dipengaruhi oleh Tamadun China juga turut menggunakan kayu penyepit untuk makan.

Walaupun nasi dan gandum menjadi makanan ruji di timur dan barat  benua Asia,  terdapat golongan etnik yang  makanan ruji mereka lain daripada nasi dan gandum. Variasi makanan ruji pelbagai golongan etnik berkait rapat dengan tempat  tinggal dan sejarah golongan etnik yang terbabit.    Gandum menjadi makanan ruji bagi masyarakat di timur laut China. Gandum dikisar menjadi tepung dan dijadikan pau (manton) dan mi tepung gandum. Spageti di Itali dipercayai berasal dari  China. Marco Polo mungkin telah melihat dan mempelajari cara membuat mi semasa melawat negara China pada abad ke-14. Marco Polo mungkin telah memperkenalkan cara membuat mi kepada masyarakat Itali dan telah disesuaikan dengan cita rasa masyarakat tempatan mengikut peredaran zaman.

Sekoi pula dikatakan dibawa ke Asia Timur daripada Tamadun India Lama. Sekoi  dibawa merentasi kawasan pergunungan di Asia Tenggara dan ke arah timur sehingga ke utara  China dan Manchuria. Pada zaman dahulu, masya­rakat Tamadun China Lama menanam sekoi di sepanjang sungai Yangtze di utara  China dan menjadi makanan ruji masyarakat di kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, makanan ruji di kawasan ini bertukar kepada  gandum, nasi dan barli kerana perubahan politik dan tamadun.

Di Asia Tenggara, keladi, ubi kayu, ubi keledek dan pisang merupakan tanaman utama bukan bijirin sejak berkurun lama. Tanaman ini menjadi makanan utama masyarakat di kawasan Asia Tenggara sehinggalah beras diperkenalkan. Apabila kawasan ini mula diperkenalkan dengan tanaman bijirin seperti beras yang datang kemudian dari Tamadun India Lama, maka sehingga hari ini beras menjadi makanan ruji di hampir semua tempat kecuali di timur kepulauan Indonesia dan pulau yang terletak di Selat Bashi antara kepulauan Filipina dan Pulau Taiwan.

Masyarakat Asia turut memanfaatkan susu ternakan sebagai sumber protein. Susu  pelbagai jenis ternakan dijadikan yogurt, mentega, keju dan hasil tenusu yang lain di Mongolia, Asia Tengah, India dan Asia Barat sebagai sumber makanan. Manakala di  China, Korea Selatan, Jepun dan Asia Tenggara, kacang soya digunakan untuk menghasilkan susu dan pes kacang soya. Susu dan pes kacang soya dijadikan sumber makanan seperti tauhu, kicap dan dadih.

Pilihan makanan mengikut pelbagai golong­an etnik dan adab makan mempunyai hubungan rapat dengan agama yang dianuti oleh golongan etnik tertentu. Masyarakat Islam mengutamakan hukum halal dan haram dalam pilihan makanan mereka. Mereka hanya memakan daging sembelihan orang Islam. Masyarakat Hindu pula tidak memakan lembu kerana menganggapnya binatang suci. Ramai penganut Hindu yang hanya memakan sayuran.

Bagi masyarakat China yang berfahaman Taoism, mereka percaya bahawa makanan merupakan punca atau sebab untuk hidup lama. Makanan dianggap mempunyai nilai perubatan dan semua jenis makanan dikelaskan mengikut nilai perubatan. Contohnya, terung bulat dipercayai dapat mengurangkan tekanan darah dan harus dimakan oleh mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi. Sebaliknya, halia pula dipercayai menambah sel darah dan harus dimakan oleh mereka yang terkena gejala anemia. Justeru, keseimbangan badan dapat dicapai melalui pengambilan makanan yang sesuai.

Untuk sihat sepanjang masa, yang paling perlu diberikan perhatian dan kawalan ialah makanan, budaya makan dan apa yang hendak dimakan.  Hampir semua penyakit bermula di perut  kerana di situlah berhimpunnya semua jenis makanan dan minuman.  Sederhana lah dalam apa jua perkaRa, insyaAllah anda akan selamat meniti usia. Tanya kan diri anda, anda hidup untuk makan atau makan untuk hidup.  Pada saya kedua-duanya.  Kadang kala saya makan untuk hidup dan kadang kala hidup untuk makan.bergantung kepada keadaan.

CANTIK UNTUK BAHAGIA


Cerita 1
Seorang isteri bersedih dan kecewa sebab suami bising dirinya dah tak cantik lagi, makin gemuk. Dulu Cuma saiz M sekarang dah jadi saiz XXL.  Si suami dah mula ada cinta baru tetapi bersetuju untuk lupakan cinta barunya jika si isteri berjaya menurunkan saiznya kepada M semula.

Cerita 2
Seorang gadis luahkan rasa kecewanya sebab dah bertahun-tahun berusaha menurunkan berat badannya masih tidak berjaya. Bukan sahaja dia kecewa dek kegagalannya itu, malah kerana pelbagai cara dan produk yyang digunakan olehnya menyebabkan dia mendapat kesan sampingan pula.  Tika usianya sudah menjangkau 30 tahun, si gadis sedih sebab tiada jejaka yang ingin jadikannya teman istimewa.

Cerita 1 dan 2, hampir sama…ye lah kalau dah gemuk, jarang sangat orang akan cakap cantik.  Pakailah pakaian mahal, berjenama, permata cantik berkilau, solekan tebal satu inci; jika ada orang yang puji pun pasti disertai perkataan “kalau” dihujungnya.  Misalnya, “…cantik, kalau kurus lagi cantik”.  Agaknya sebab itulah ramai orang yang nak kurus.
Persoalannya:
Perlukah kurus untuk dapatkan cinta?
Perlukah kurus untuk cantik?
Paling penting…perlukah cantik untuk bahagia?

Cerita 3
Seorang isteri berusia awal 40-an tetapi wajah dan penampilannya bagaikan dara 20-an.  Suami berubah hati dan ingin berkahwin lagi. 

Cerita 4
Seorang selebriti yang terlalu cantik rasa risau dan sukar untuk percaya keikhlasan cinta lelaki kerana bimbang dirinya hanya ingin dimiliki kerana kecantikannya.

Nah! Cerita 3 dan 4 menunjukkan wanita cantik pun sukar temui dan kecapi cinta.  Lantas kenapa risau dan takut bila tidak cantik? Apakah punya cinta lelaki barulah wujud bahagia dalam hidup?

Bahagia itu luas maksudnya. Terlalu subjektif pengertiannya.  Bahagia terletak di hati.  Biar wajah biasa-biasa saja, biar badan bersaiz besar penuh jendela tapi jika kita rasa seronok, hati kita tenang, jiwa kita tenteram, itu tandanya kita bahagia.

Petua untuk bahagia:  Bersyukur dengan segala anugerah dan nikmat kurniaan-Nya.  Berbanggalah dengan diri sendiri dan jangan sesekali memperlekehkan diri kita.  Jika kita tidak menghargai diri kita sendiri, memang sukar mengharapkan orang lain pula menghargai kita.  Perbetulkan mana yang kurang pada diri, cari keistimewaan kita sendiri yang mungkin tersembunyi.

“Aku sayang diri aku kerna Allah menyayangi setiap hamba-Nya.  Mengapa aku pula perlu membenci diri ku.”  Fikir-fikirkan.

SIAPA AKU SIAPA DIA


Hidup umpama ombak yang merentasi lautan. Ada kalanya tenang ada kalanya bergelora. Mungkin memang sifat ombak begitu kepada kita yang tidak mengkajinya namun jika diperhalusi rupanya gelora ombak juga turut dipengaruhi oleh pengaruh alam bukan hanya kerna sifat semulajadinya sahaja. Tsunami misalnya merupakan sifat ombak akibat pergerakan dasar lautan.
Dalam kehidupan kita sendiri, kita perlu melalui kesukaran kerana hanya dengan melalui kesukaran barulah kita menghargai dan mengerti erti kegembiraan. Mengharungi masalah mengajar kita menjadi lebih matang. Kematangan tidak terbentuk hanya dengan kebahagiaan kerna kebahagiaan tidak pula datang tanpa kita mengenal erti kekecewaan. Kita tidak kenal erti putih tanpa mengenal erti hitam.
Sebenarnya kisah dan kias ibarat di atas ini ada kaitannya dengan memahami diri kita sendiri. Tanpa kita sedari kita sering terlepas pandang untuk memahami diri kita sendiri, sebaliknya kita sering cuba untuk memahami diri orang lain. Di facebook terdapat pelbagai aplikasi yang kadang-kadang cuba kita gunakan kononnya agar dapat mengetahui cirri serta watak diri seterusnya mampu memahami diri kita sendiri. Saya sendiri pun ada cuba-cuba menggunakan aplikasi-aplikasi tersebut, misalnya name analysis, analyze your profile picture, your birthday profile, rahsia tarikh lahir anda, your Chinese element dan banyak lagi. Keputusan analisisnya memang hebat-hebat…buat saya senyum sendirian, geleng-geleng kepala pun ada. Memanglah kepada kita analisis itu mengarut belaka, usah percaya, bukan cara nak fahami diri kita. Sekadar suka-suka tidak mengapa lah.
Dan memahami diri sendiri itu lah yang sebenarnya detik paling sukar dalam hidup. Jika kita telah memperhalusi sifat ombak tadi, mungkin kita dapat memperhalusi seterusnya memahami diri kita sendiri. Ya Allah, berikan kami hidayah-Mu agar mampu memahami diri kami hingga kami sedar destinasi akhir kami hanyalah pada-Mu.

ANDA SAKIT, JANGAN MENGELUH


Ada rahmat di sebalik setiap dugaan
Dulu masa muda ajaklah ke mana pun diri sedia sahaja. Umur semakin meningkat. Badan mula rasa sengal-sengal. Kalau boleh rasa nak berehat , duduk bersantai di rumah sahaja. Makan pun dah tak boleh ikut selera sahaja. Terpaksa fikir berkali-kali sebelum menjamah makanan yang ada depan mata. Bimbang kolesterol, tekanan darah tinggi, kencing manis dan macam-macam lagi. Nasib tak baik pelbagai penyakit itu semakin menjadi-jadi pabila usia makin meningkat.  Pabila dah sakit, memang sukar sembuh pula, benarlah kata orang sakit datang macam rebut, perginya macam semut.

Hampir setiap kita pernah mengalami keadaan ditimpa penyakit.  Suka atau tidak, kita redha lah menghadapinya. Mungkin ada hikmah di sebalik dugaan tersebut. Kadang-kadang sakit mampu menyedarkan seorang hamba pada hakikat kehidupan. Pernah kita lihat dan dengan seorang jahat berubah menjadi lebih warak setelah dia didera oleh penyakit.  Itu tandanya kesedaran terhasil setelah dia muhasabah diri.  Hakikatnya dugaan Allah itu seperti teguran agar hambanya kembali ke jalan yang benar. Suatu musibah yang dapat menyedarkan itu jauh lebih baik daripada kesihatan baik yang melalaikan.  Fikir-fikirkan…

MENGKRITIK DAN DIKRITIK

Siapa agaknya di dalam dunia ini yang tidak pernah dikritik ? Rasanya tiada. Setiap orang pasti pernah dikritik.  Kalau tak orang lain yang mengkritik diri sendiri pula yang mengkritik. “Gemuknya aku.” “Tak cantik lah baju aku ni” dan lain-lain lagi.
Hakikatnya setiap orang pernah dikritik dan mengkritik.

Kritikan memberi kesan positif andainya dilakukan dengan penuh tanggungjawab, namun jika kritikan itu dari perasaan dengki, khianat, sakit hati, marah, mahu pun marah.

Pada sesetengah orang setiap kritikan adalah penambahbaikan. Kritikan akan menyebabkan kita tercabar untuk membuktikan sesuatu.  Tanpa kritikan tiada persaingan. Kita akan tenggelam dalam “syok sendiri”.
Kritikan tidak semestinya merugikan anda. Tun Dr. Mahathir  contoh paling dekat dengan kita. Walaupun dikritik beliau jarang benar marah dan jawapan daripada beliau mungkin patut kita jadikan panduan “ Depa ada mulut, biaq pi apa depa nak kata”

Sejarah diri saya dan mungkin sejarah diri anda rakan-rakan juga membuktikan ramai rakan-rakan kita malah mungkin kita sendiri Berjaya dek kerna kritikan yang diterima. Ada rakan saya berjaya menjadi usahawan berjaya kerana dahulunya sewaktu di sekolah sering dikritik sebagai pelajar yang lemah oleh rakan-rakan malah oleh para guru.  Yang seorang lagi pula….dapat berkahwin dengan wanita cantik dan berkerjaya gara-gara dikritik oleh saya tidak akan dapat wanita yang lebih baik daripada saya. Mungkin jika kami ketemu lagi pada reunion akan datang dia patut mengucapkan terima kasih kepada saya kerana mengkritiknya dulu. Ha ha ha…bukan kepada saya sebenarnya tapi kepada Allah kerna menemukan jodoh yang sebegitu secocok buat nya.

Kesimpulannya kritikan umpama satu motivasi. Tanpa kritikan mungkin kita masih di takuklama. Terus enak dalam zon selesa. Mengkritik pula biarlah berpada-pada. Sebelum mengkritik ada baiknya kita lihat diri kita dahulu seadanya.
Fikir-fikirkan…